UIN SUNAN GUNUNG DJATI BANDUNG

Basmi Rasuah Tuntut Pengorbanan

UMAT Islam di seluruh dunia baru saja merayakan Aidiladha yang biasa juga disebut Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban. Dengan penduduk majoriti Muslim, tentu saja masyarakat Indonesia juga merayakannya. Namun, ada yang aneh kerana perayaan Aidiladha di Indonesia tidak seperti Aidilfitri.

Kalau pada Aidilfitri, jutaan penduduk Jakarta atau kota-kota besar di Indonesia balik kampung atau ‘mudik’. Hal ini tidak terjadi pada Aidiladha.

Saya tidak tahu apa alasan sebenar masyarakat tidak beramai-ramai mudik ke kampung.Mungkin tiada waktu, belum cukup wang atau mungkin masanya kurang tepat kerana baru sahaja mudik Aidilfitri?

Pada saya, Aidiladha seharusnya lebih gah dirayakan masyarakat daripada Aidilfitri. Budaya mudik lebih sesuai dilakukan pada Hari Aidiladha.Sebabnya, Aidiladha adalah antara ibadah yang mempunyai makna lebih luas dan lebih besar daripada Aidilfitri.

Bukankah puasa sebelum Aidilfitri merupakan ibadah ‘menegak’ individu (mahdoh), sedangkan melaksanakan korban pada Aidiladha lebih bermakna sosial melintang (ghair mahdoh)?

Mudah-mudahan ini tidak bererti bahawa umat Islam Indonesia lebih mengutamakan ibadah yang bersifat peribadi daripada ibadah sosial.

Apa pun hujahnya, saya masih bangga dengan umat Islam Indonesia kerana ratusan ribu penduduknya berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan haji setiap tahun.
Malah, jutaan lagi menunggu giliran mereka. Begitu juga ramai menyembelih haiwan korban – daripada rakyat jelata sampai pembesar negara – di serata kota, pekan dan desa.

Bahkan, di Jakarta, sebuah akhbar menceritakan perihal Yati, seorang ibu yang gigih menabung selama tiga tahun untuk berkorban dua kambing.

Di Masjid Istiqlal, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menyerahkan sapi (lembu) putih seberat satu tan untuk dikorbankan.

Semua ini menggambarkan betapa umat Islam Indonesia tetap melaksanakan ibadah dengan suasana yang khusyuk dan menggembirakan.Apakah ibadah sedemikian memancarkan ketinggian rohani rakyat Indonesia?

Menurut sesetengah pengamat, ia bukan ukuran yang pasti. Hakikatnya, walaupun menampilkan jumlah Muslim terbesar dunia (89 peratus daripada 245 juta rakyat) dan ramai pula meraih gelar ‘haji’ dan ‘hajah’, kadar rasuah dan kesenjangan (jurang kaya miskin) amat menonjol di Indonesia.

Pada saya, sudah waktunya masyarakat Indonesia tidak sekadar meningkatkan ibadah bersifat ritual, bahkan yang menjurus kepada ibadah sosial demi kemaslahatan am.

Dalam hari-hari Aidiladha dan tiga hari selanjutnya atau tasyrik), saya melihat ramai terutama fakir miskin di Indonesia dapat merasakan makan daging yang tidak didapatkan di luar musim ini.

Namun, janganlah beranggapan bahawa dengan menyembelih kambing atau sapi saja, cukuplah pengorbanan seseorang.

Selain ikhlas menyerahkan sapi terbaik untuk dikorbankan, rakyat masih mengharap Dr Yudhoyono dapat lebih gigih mengorbankan waktu, tenaga, kekuasaan dan pengaruhnya memerangi rasuah di Indonesia.

Kesan pemberian daging sapi itu hanya sebentar, tetapi berkorban untuk membanteras rasuah mempunyai matlamat dan pengaruh baik untuk jangka panjang kemakmuran ramai di Indonesia.

Semangat berkorban dan berbahagi antara saudara akan menyelamatkan warga Indonesia daripada kemiskinan, dengan usaha membanteras rasuah harus terus-menerus dilakukan.

Matlamat dan makna utama Aidiladha iaitu ikhlas, syukur dan pengorbanan harus terus diingat oleh Muslim di mana jua, apatah lagi di Indonesia.

Ketetiga makna ‘korban’ itu akan terlihat elok jika terus dipegang rakyat Indonesia dan diterapkan dalam zaman moden ini.

Ingatlah iktibar daripada pengorbanan Nabi Ibrahim as yang ikhlas menyahut seruan Allah dengan mengorbankan Ismail, anak yang sangat dicintainya.

Inilah mesej halus sempena Aidiladha bahawa pengorbanan akan membawa hasil yang lebih baik dan dirahmati Ilahi.

Nabi Ismail hanya merupakan simbol bahawa Ibrahim rela mengorbankan apa pun termasuk anak yang paling dicintainya. ‘Ismail’ zaman moden boleh ditakrifkan sebagai pangkat, kedudukan, harga diri, harta benda termasuk sikap rasuah dan jiwa serakah. Ertinya, simbol Ismail merujuk kepada mana-mana hal yang membuat manusia ingin mempertahankannya.

Dalam konteks Indonesia, mengorbankan nafsu serakah akan dapat menyingkirkan rasuah demi mencapai kemaslahatan am dan membela kemanusiaan.

Indeks rasuah sedunia menunjukkan masalah rasuah sangat besar di negara majoriti Muslim. Mudah-mudahan umat Islam Indonesia dan di mana jua gigih berkorban mengatasi rasuah.