DUNIA mengalami pelbagai ‘kepupusan’, termasuk bahasa. Menurut bahasawan Andrew Dalby dari England dalam bukunya, Language in Danger (2003), selang dua minggu ada satu bahasa di dunia yang hilang. Dalam sedekad kelak, Encik Darby meramalkan akan hilang 5,000 bahasa dari jagat ini.
Ramalan ini tentu saja membuat kita prihatin akan kesinambungan bahasa, terutamanya bahasa bonda di mana-mana tempat. Pendapat Encik Darby juga membuat saya tertanya-tanya tentang masa depan bahasa-bahasa ibunda di Indonesia – pupus juga atau bagaimana?
Saya ingin mengambil contoh bahasa Melayu di Indonesia. Mengapakah ramai orang Indonesia tidak menggunakan bahasa Melayu? Tidakkah penduduk negara jiran iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei masih menggunakan bahasa Melayu?
Mungkin betul masih ada tempat di Indonesia seperti di pulau Sumatera dan Kalimantan yang menggunakan bahasa Melayu. Namun, umumnya orang Indonesia, apalagi belia, kurang mengenal bahasa Melayu. Padahal akar bahasa Indonesia bahasa Melayu Riau.
Ki Hajar Dewantara (wira pendidikan Indonesia) mengakui bahawa yang dinamakan bahasa Indonesia adalah bahasa Melayu Riau yang diubah suai (ditambah atau dikurangi) dengan perkembangan zaman. Menurut Pak Dewantara, berbeza daripada Melayu Pontianak dan Melayu Banjarmasin, Melayu Riau dipilih kerana dialek ini sedikit saja terpengaruh oleh kata serapan bahasa asing. Jika sekarang hanya sedikit masyarakat Indonesia yang menggunakan bahasa Melayu, apakah makna di sebaliknya?
Bagi saya, kurangnya orang Indonesia memakai bahasa Melayu mengandungi dua pengertian.
Pertama, ini menunjukkan bahawa gagasan bahasa Indonesia sebagai bahasa persatuan yang dikempenkan oleh kaum belia melalui Sumpah Pemuda (28 Oktober 1928) berjaya dilaksanakan. Bahasa Indonesia dijadikan sebagai bahasa penyatu masyarakat Indonesia yang berbilang etnik, ras dan kebudayaan. Saya tidak tahu bagaimana bermacam-macam etnik yang berbeza bahasa ibunda seperti Jawa, Sumatera, Papua, Kalimantan dan Sulawesi berkomunikasi jika negeri ini tidak mempunyai bahasa persatuan iaitu bahasa Indonesia.
Kedua, kurangnya pemakaian bahasa Melayu boleh bermakna masyarakat kurang menghargai, kurang memelihara dan kurang berkempen mengggunakan bahasa ibunda, terutamanya masyarakat di Sumatera dan Kalimantan. Kerana kurang digunakan dalam bahasa tulisan seperti menulis buku atau karya kesusasteraan, maka kalangan belia kini kurang mengenal bahasa Melayu. Ini sangat berbeza daripada zaman pujangga Indonesia terdahulu yang banyak menulis karya sastera dalam bahasa Melayu. Kurangnya bahan bacaan atau buku berbahasa Melayu yang masuk dan dijual di Indonesia hasil karya penulis Melayu Singapura, Malaysia dan Brunei juga salah satu sebab mengapa bahasa Melayu semakin tidak dikenal di Indonesia. Hal ini dikaitkan dengan dasar penjajah Belanda menyekat kemasukan bahan bacaan Melayu dari luar Indonesia. Malangnya, dasar ini masih belum diperbetul. Akibatnya, kurang bahan bacaan yang berbahasa Melayu. Maka kaum belia semakin tidak kenal atau tidak sedar bahawa akar bahasa Indonesia adalah Melayu Riau, apalagi bagi belia yang ada di pulau Jawa.
Tentu orang Indonesia akan rugi kerana hilangnya bahasa Melayu bererti hilangnya salah satu budaya dan sejarah akar bahasa Indonesia. Namun, bagi saya akan lebih teruk lagi jika bahasa Melayu hilang daripada masyarakat yang ada di Malaysia, Brunei dan Singapura. Oleh itu, diperlukan usaha bersama berkempen agar masyarakat Melayu di mana-mana tempat – termasuk Indonesia – gemar membaca dan berbicara dengan bahasa Melayu. Janganlah orang Jakarta, Singapura atau Kuala Lumpur berasa minder atau dipandang rendah ketika menggunakan bahasa Melayu.
Janganlah mereka berasa lebih bangga menggunakan bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu. Sudah saatnya buku-buku berbahasa Melayu karya penulis-penulis di Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam banyak dijual di Indonesia. Begitu pun sebaliknya. Tersiarnya rancangan kanak-kanak Upin dan Ipin di televisyen di Indonesia secara tidak langsung mengenalkan semula bahasa Melayu kepada kanak-kanak Indonesia. Jika banyak bacaan buku dan karya sastera ulung berbahasa Melayu dijual dan diedarkan di Indonesia, saya yakin bahasa Melayu sebagai akar bahasa Indonesia akan dikenal kembali oleh generasi belia Indonesia.
Ahmad Ali Nurdin, Ph.D., Dekan FISIP UIN Sunan Gunung Djati Bandung